Posted on 08/10/2007
Filed Under (Berita) by nik

PELAN Induk Perisian SumberTerbuka (OSS) kini giat digerakkan di dalam fasa kedua dalam setiap agensi kerajaan di samping membangunkan pakar-pakar yang relevan bagi menyokong perkembangan aplikasi-aplikasi yang dibangunkan.

Untuk tempoh jangka panjang, agensi kerajaan dijangka menjadi lebih inovatif dalampenggunaan OSS untuk pembangunan aplikasi ICT bagi kegunaan agensi masing-masing.

Bagi memantapkan pelaksanaan OSS, kerajaan pada 18 Julai yang lalu, telah melantik Dataware Sdn. Bhd; sebagai operator Pusat Kecekapan Sumber Terbuka (OSCC) untuk fasa kedua ini.

Bagi fasa ini, MAMPU telah mengkaji sedalam-dalamnya terhadap hasil yang didapati pada fasa satu dahulu dan berjaya menggariskan beberapa strategi bagi mencapai sasaran untuk fasa baru ini.

Salah satu daripada strategi tersebut ialah memberi penekanan ke atas pembangunan modal insan menerusi penubuhan badan pensijilan OSCC bagi memperkukuhkan lagi standard pensijilan OSS.

Perlu ditekankan bahawa sasaran untuk fasa kedua ini menjuruskan kepada empat kategori utama. Antaranya ialah pembangunan modal insan, pendidikan, kolaborasi komuniti OSS dan imple mentasi.

Sehubungan itu, apa yang menjadi tumpuan utama ialah untuk memastikan 80 peratus daripada kakitangan teknologi maklumat (IT) kerajaan yang telah dilatih dalam bidang OSS dan mencapai tahap 100 peratus dalam agensi kerajaan yang menggunakan sekurang-kurangnya satu jenis OSS.

Bagi membolehkan matlamat ini dicapai, OSCC kini sedang dibangunkan dan akan melancarkan beberapa produk serta perkhidmatan baru dalam tempoh masa tiga tahun akan datang ini.

Secara kesimpulannya, pengiktirafan antarabangsa yang diterima secara jelas membuktikan bahawa kerajaan Malaysia telah menunjukkan kesungguhan untuk membangunkan OSS dalam sektor awam.

Kini, Pelan Induk Perisian Sumber Terbuka sudah mencecah ke fasa kedua, menunjukkan langkah tersebut telah bergerak ke peringkat seterusnya. Secara tidak langsung, lebih banyak agensi akan mengaplikasikan OSS pada masa akan datang.

Selain itu, pihak kerajaan juga sentiasa memberikan bantuan dan menyalurkan sokongan berterusan dalam industri OSS dan berbekalkanpengalaman yang ditimba ketika di fasa pertama pelan induk, OSS mampu berkembang dengan jayanya dalam sektor awam kelak.

Petikan : Utusan Malaysia, Khamis 27 September 2007