Ibu sawat internet dilancar akhir tahun

LEBIH 20 syarikat Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) dijangka menyertai projek ibu sawat internet negara, yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini bagi membolehkan pelayaran lebih murah serta mengurangkan monopoli pasaran.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dijangka menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan lebih 20 syarikat ISP, termasuk menyediakan peruntukan mempercepatkan proses pengendaliannya kepada syarikat terbabit.


Pengerusi SKMM, Datuk Dr Halim Shafie, berkata tiga lokasi sudah dikenal pasti iaitu Telekom Malaysia ™, Jaring dan AIMS (ahli pengasas untuk konsortium yang akan mengendalikan ibu sawat internet negara) untuk projek itu.

Beliau berkata, fasa pertama projek ibu sawat internet negara dijangka dilancarkan sebelum akhir tahun ini dan SKMM akan membantu menjayakan projek itu dalam tempoh lima tahun, termasuk proses pembelian peralatan ibu sawat serta pusat pemancarnya.

“Apabila ia dilaksanakan, kita bukan saja dapat mengurangkan kos trafik internet yang keluar tetapi komunikasi internet bertambah pantas kerana semua pertukaran maklumat Internet dijalankan dalam negara.

“Kita menjangka lebih banyak syarikat berkaitan internet akan menyertai konsortium mengendalikan ibu sawat Internet negara ini kerana SKMM tidak menetapkan sebarang had penyertaan,” katanya ketika ditemui di Cyberjaya baru-baru ini.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan mahu ibu sawat internet negara ditubuhkan sebelum akhir tahun ini bagi mengurangkan caj perkhidmatan, menghapuskan monopoli serta mengurangkan pengaliran keluar wang negara.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, dilaporkan berkata penubuhan ibu sawat internet negara mampu menarik kemasukan syarikat telekomunikasi asing, sekali gus menjadikan Malaysia hab bidang berkenaan.

Dr Lim berkata, SKMM sudah mengadakan dua rundingan dengan syarikat penyedia perkhidmatan internet dan pemilik jalur lebar optik tempatan untuk menyediakan perinciannya.

Halim berkata, penyedia perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar atau WiMAX, dijangka turut menyertai konsortium terbabit susulan keputusan kerajaan menyediakan sehingga empat lesen spektrum untuk WiMAX.

Katanya, penubuhan ibu sawat internet itu berasaskan kepada rangka model ibu sawat internet London yang memiliki lebih 120 keahlian.

Beliau berkata, SKMM juga akan menambah stesen ibu sawat internet berkonsepkan pengedaran seperti di utara dan selatan dalam tempoh lima tahun ini.

“Sehubungan itu, pertukaran internet boleh dilakukan mengikut kawasan dan zon tertentu tanpa perlu tertumpu ke Kuala Lumpur semata-mata,” katanya sambil menambah SKMM memperuntukkan kira-kira RM30 juta bagi membiayai projek itu.

Ketika ini, semua trafik internet Malaysia menuju ke Singapura atau Amerika Syarikat dan penubuhan ibu sawat internet itu yang membabitkan belanja permulaan RM15 juta dapat membantu negara menjimatkan pertukaran asing berjuta-juta ringgit setahun dalam bentuk caj akses internet.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.