Akibat bergantung kepada AS

SINGAPURA 28 Dis. – Kekacauan perkhidmatan Internet di Asia yang berlaku akibat gempa bumi dasar laut di Taiwan Selasa lalu menunjukkan bahawa rantau ini terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) dan rangkaian kabel yang rapuh.

Berjuta-juta penduduk di seluruh Asia menghadapi masalah perkhidmatan Internet untuk hari kedua berturut-turut apabila gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter itu menyebabkan kerosakan besar kabel dasar laut yang menghubungkan negara-negara Asia dan AS.

“Di sebalik terlalu bergantung kepada Amerika Utara, Asia perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menghubungkan (perkhidmatannya) dengan Eropah,” kata Ross Veitch, pengasas Yahoo! Asia Tenggara yang juga ketua pegawai produk untuk enjin carian Bezurk.com.

Gangguan perkhidmatan Internet itu meliputi China, Hong Kong, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam dan beberapa negara lain.

Menurut Veitch, Internet direka bagi membolehkan ia dialihkan laluannya apabila berlaku kerosakan.

“Hakikatnya terlalu banyak trafik menggunakan kabel gentian optik bawah laut yang sedikit bilangannya. Ia amat rapuh berbanding yang orang ramai fikirkan,’’ katanya.

Sementara itu, pengerusi syarikat perunding telekomunikasi BDA China, Duncan Clark berkata:

“Ia amat buruk sebenarnya jika selepas 24 jam kejadian mereka masih gagal mengalihkan laluan.”

Beliau bersetuju bahawa buat masa ini hubungan antara Asia Timur dengan Eropah terlalu sedikit berbanding tumpuan lebih besar yang diberikan antara AS dengan Eropah dan Asia Timur dengan AS.

“Sebenarnya kabel terdedah kepada kegiatan ‘seismos’, malah kadangkala tersangkut pada jaring nelayan,” ujarnya.

Penganalisis telekomunikasi DBS Vickers Securities di Singapura, Sachin Mittal pula menambah, kerosakan yang berlaku pada kabel dasar laut bukan sesuatu yang mengejutkan.

Berjuta-juta pengguna Internet di seluruh Asia menghadapi masalah untuk hari kedua berturut-turut ketika para operator telekom berusaha membaiki perkhidmatan yang diramalkan bermasalah selama beberapa minggu.

Beberapa kapal dilaporkan menuju ke kawasan perairan antara Hong Kong dan Taiwan bagi membolehkan jurutera membaiki kerosakan kabel gentian optik yang rosak teruk akibat gempa bumi Selasa lalu.

– AFP

Petikan daripada : http://www.utusan.com.my/

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.