Perniagaan melalui Internet rugi besar

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Dengan bilangan 11 juta pengguna Internet di Malaysia sekarang, kerosakan perkhidmatan Internet ekoran gempa bumi dekat pantai selatan Taiwan semalam menyebabkan sebahagian besar daripada mereka terputus hubungan dengan dunia luar.

Pengguna Internet yang ditemui Utusan Malaysia mengakui kerosakan tersebut menjejaskan pelbagai urusan mereka.

Seorang peniaga dari Norway, Nam Lammy berkata, gangguan itu menyebabkan beliau gagal menghubungi ibu pejabatnya di Norway.

‘‘Urusan saya dengan ibu pejabat di Norway terputus semalam sehingga menimbulkan implikasi negatif terhadap perniagaan saya,’’ katanya ketika ditemui di kafe Starbuck Times Square di sini hari ini.


Kafe itu menyediakan perkhidmatan wayarles Internet percuma.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak memandangkan masalah tersebut disebabkan bencana alam yang berlaku di luar kawalan manusia.

Semalam, pedagang menerusi Internet di Malaysia dan sebahagian besar Asia Timur panik setelah perkhidmatan itu terganggu kerana kabel dasar laut yang membawa taliannya rosak akibat gempa bumi kuat dekat pantai selatan Taiwan.

Gangguan itu membabitkan 300 juta pengguna Internet di China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Singapura, Thailand, Malaysia dan Australia.

Impak gempa bumi itu dipercayai lebih serius berbanding semasa tragedi tsunami 2004 kerana ia menjejaskan banyak sektor termasuk bursa saham dan pasaran kewangan serta perbankan di beberapa negara rantau Asia.

Seorang pereka laman web sambilan, Bryan Kow, 25, pula memberitahu, ramai di kalangan usahawan yang menjalankan urusan menerusi Internet terpaksa menanggung kerugian besar akibat kejadian itu.

‘‘Akibat gangguan itu, saya gagal mengakses laman-laman web yang berpangkalan di China dan Taiwan.

‘‘Keadaan ini menyebabkan saya gagal menyelesaikan urusan tertentu yang memerlukan saya membuka laman web dari dua negara itu,’’ katanya.

Bryan berkata, jumlah kerugian yang ditanggungnya tidak besar memandangkan dia hanya menjalankan perniagaan menerusi Internet secara sambilan dan dalam skala kecil.

‘‘Bagaimanapun, saya pasti ramai pedagang Internet lain mengalami kerugian yang lebih besar akibat gangguan ini,’’ katanya.

Sementara itu, seorang peniaga dari Arab Saudi, Moaz Ali menyuarakan rasa hampa dengan gangguan perkhidmatan Internet yang berlaku.

‘‘Saya menggunakan perkhidmatan Internet untuk menjalankan urusan perniagaan dan akibat gangguan semalam, semua aktiviti perniagaan saya terpaksa dihentikan,’’ katanya.

Pelajar dari Iran, Azadeh Khorsandi pula berkata, dia tidak dapat menyiapkan tugasannya kerana tidak boleh menggunakan Internet.

Katanya lagi, gangguan perkhidmatan tersebut juga menyebabkan dia tidak dapat menghubungi keluarga di negaranya.

‘‘Saya tiada saudara-mara di sini. Internet merupakan satu-satunya cara komunikasi dengan keluarga saya di Iran,’’ ujarnya.

Petikan daripada : http://www.utusan.com.my/

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.