Gangguan Internet 2 minggu lagi
KUALA LUMPUR 3 Jan. – Gara-gara perkhidmatan Internet hanya akan pulih sepenuhnya dalam masa dua minggu lagi, para peniaga Malaysia terpaksa menggunakan cara lama untuk urus niaga antarabangsa iaitu, telefon.
Kos naik secara mendadak kerana peniaga terpaksa menggunakan telefon yang lebih mahal untuk berhubung akibat kelembapan capaian Internet ekoran gangguan itu.
Yang Dipertua Majlis Perdagangan Malaysia Kuala Lumpur (KLMCC), Datuk Syed Amin Al-Jeffri berkata, para peniaga ini yang mempunyai rangkaian antarabangsa terbeban kerana tidak dapat menggunakan e-mel yang lebih murah untuk berhubung dengan pelanggan dan rakan kongsi.
‘‘Kesan lain yang ketara ialah proses memesan dan penghantaran barangan dari luar negara juga menjadi lebih lambat sehingga menjejaskan urusan perniagaan di negara ini,” katanya.
Gangguan perkhidmatan Internet di negara ini dijangka berterusan untuk tempoh dua minggu lagi ekoran kerja-kerja membaik pulih kabel gentian optik dasar laut di Taiwan masih dijalankan.
Gangguan yang turut menjejaskan aktiviti perniagaan itu berpunca daripada kerosakan pada kabel itu akibat gempa bumi yang kuat pada 27 Disember lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Jaring Communications Sdn. Bhd., Dr. Mohamed Awang Lah berkata, pakar dari Taiwan terpaksa menggunakan kapal untuk memeriksa lokasi kabel yang terjejas teruk.
‘‘Kita akan mengalami gangguan untuk tempoh dua minggu lagi memandangkan kerja pembaikan kabel masih dijalankan.
‘‘Setelah kerja-kerja pembaikan siap baru kita akan mengalami perubahan dari segi perkhidmatan atau tiada gangguan lagi seperti yang dialami beberapa hari ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.
Minggu lalu, pedagang dan para pelayar Internet di Malaysia dan sebahagian besar Asia Timur ‘panik’ setelah perkhidmatan Internet mereka terganggu akibat kabel dasar laut yang membawa talian Internet rosak kerana gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter dekat pantai selatan Taiwan.
Selain 11 juta pengguna Internet di Malaysia, gangguan itu turut menjejaskan kira-kira 300 juta pengguna Internet di China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Singapura dan Australia.
Pada masa ini perkhidmatan Internet di negara ini bergantung sepenuhnya kepada kabel dasar laut yang melalui perairan China yang dianggap berisiko tinggi kerana terletak di kawasan lingkaran gunung berapi yang kerap berlaku gempa bumi.
Menurut Mohamad Awang, gangguan itu turut melibatkan penggunaan Internet di negara-negara Asia Tenggara lain.
Menurut Syed Amin, pihaknya setakat ini tidak dapat memberikan anggaran mengenai jumlah kerugian keseluruhan kerana masih menunggu laporan daripada ahli-ahli.
Katanya, maklumat awal yang diterima ialah kesan paling ketara membabitkan urusan perniagaan dengan syarikat-syarikat di China, Hong Kong dan Taiwan.
Bagaimanapun, ujar beliau, pihaknya tidak menyalahkan kerajaan terhadap gangguan tersebut kerana ia adalah bencana alam yang di luar jangkaan.
‘‘Kita menyokong segala usaha yang dibuat pihak kerajaan tetapi berharap insentif diberikan bagi membantu komuniti perniagaan termasuk pengurangan cukai,’’ katanya.
Petikan daripada : http://www.utusan.com.my/