Pengguna Internet wajar mendaftar
KUALA LUMPUR 21 Mei – Setiap pengguna Internet wajar mendaftar identiti diri mereka sebelum dibenarkan menggunakan rangkaian itu,’’ kata Ketua Pegawai Eksekutif MOL Access Portal, Ganesh Kumar Bangah.
Beliau berkata, langkah itu demi keselamatan, keyakinan dan melindungi semua pengguna Internet dan orang ramai.
‘‘Keterbukaan dan demokrasi di Internet masa ini boleh menjadi ancaman terutamanya kepada aspek sosial dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia, justeru, ia perlu dikawal,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembentangan kertas kerja bertajuk Masa Depan Internet sempena Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT) 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sesi yang dipengerusikan oleh Pengerusi ICANN, Peter Dengate Thrush itu turut disertai oleh dua panel lain iaitu Timbalan Presiden eBay, Dan Neary serta Pengarah Evangelis Platform Microsoft, Tyson Dowd.
Katanya lagi, kebebasan penggunaan Internet juga menjadi cabaran utama kepada kerajaan bagi memastikan pengguna mencapai dan berkongsi maklumat yang berfaedah.
‘‘Keadaan ini menjadi bertambah sukar terutamanya kepada negara yang mengamalkan dasar tidak menapis sebarang bahan seperti yang diamalkan di negara ini serta beberapa negara lain,’’ katanya.
Petikan daripada : http://www.utusan.com.my/