Archive for the 'Berita Teknologi' Category

9 negara ‘panik’ — Internet terjejas teruk kabel dasar laut rosak akibat gempa di Taiwan

Thursday, December 28th, 2006

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Pedagang menerusi Internet di Malaysia dan sebahagian besar Asia Timur ‘panik’ hari ini setelah perkhidmatan itu terganggu akibat kabel dasar laut yang membawa taliannya rosak kerana gempa bumi kuat dekat pantai selatan Taiwan malam tadi.

Gangguan itu membabitkan China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Singapura, Thailand, Malaysia, Hong Kong sehingga ke Australia.

Impak itu dipercayai lebih serius berbanding semasa tragedi tsunami 2004 kerana ia menjejaskan banyak sektor termasuk bursa saham dan pasaran kewangan serta perbankan di beberapa negara rantau Asia.

Bagaimanapun, di Malaysia perkhidmatan perbankan dan bursa tidak terjejas teruk akibat kejadian itu.

Jurucakap Jaring Communications Sdn. Bhd. berkata, gangguan hanya berlaku untuk mengakses talian antarabangsa. Ia turut melibatkan perkhidmatan e-mel dan enjin carian.

‘‘Ia menjadi serius ketika waktu puncak kerana orang ramai mula menggunakan Internet,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Gempa bumi pada skala magnitud 7.1 Richter di pantai selatan Taiwan itu menyebabkan kemusnahan bangunan di Taiwan dan mengorbankan dua rakyatnya.

Gangguan akses Internet dan komunikasi di Malaysia berlarutan sehingga petang ini manakala di beberapa negara lain pulih secara berperingkat-peringkat dan memerlukan masa sehingga tiga minggu untuk kembali normal.

Menurut TM Net Sdn. Bhd. perkhidmatannya mengalami gangguan prestasi disebabkan sambungan talian sesak dan melampau di beberapa jaringan Internet antarabangsa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini, syarikat itu menyatakan ia telah mengambil tindakan cepat dengan mengalih laluan trafik ke jaringan-jaringan sokongan lain bagi mengurangkan kesesakan.

‘‘Para pengguna Internet di Malaysia dan lain-lain bahagian di negara ini mungkin mengalami sedikit penangguhan dalam mengakses kandungan-kandungan dan laman-laman web berpangkalan di luar negara, terutamanya di AS, Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah,’’ katanya.

Menurut TM Net, gempa bumi di pantai selatan Taiwan itu telah menyebabkan gangguan kepada kabel Asia Pasifik Rangkaian 2 Shantou, China dan Tanshui, Taiwan dan juga antara Lantau, Hong Kong dan Chongming, China.

‘‘Ia telah menyebabkan sambungan Internet yang melampau pada talian Internet TM Net International secara sambungan transit atau pemula, terutamanya ke negara-negara yang disebutkan,’’ katanya.

Peniaga kewangan di Hong Kong, antara pusat perniagaan terbesar di Asia, melaporkan bahawa mereka terputus hubungan dengan Bloomberg LP, penyedia utama berita dan data mengenai pasaran saham.

Akses Internet terputus atau sangat lembap di Beijing, kata seorang pegawai daripada syarikat telefon kedua terbesar di China, China Netcom.

Pembekal perkhidmatan jalur lebar dan talian tetap utama Korea Selatan, Kt Corp mengumumkan bahawa enam kabel dasar laut mengalami kerosakan disebabkan gegaran malam tadi.

Sementara itu, timbalan pengurus besar syarikat telefon terbesar di Taiwan, Chunghwa Telecom Co., Lin Jen-hung berkata, kerja membaiki kabel yang rosak dalam gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter itu mungkin mengambil masa tiga minggu tetapi ‘‘kualiti komunikasi akan meningkat dari hari ke hari’’.

Dua daripada tujuh kabel dasar lautnya mengalami kerosakan teruk.

Menurut syarikat itu, kerosakan kabel dekat pantai selatan Taiwan telah menggendalakan 98 peratus keupayaan komunikasi Taiwan dengan Malaysia, Singapura, Thailand dan Hong Kong.

Talian yang rosak itu menyebabkan perkhidmatan Internet terputus bagi sebilangan pelanggan di Hong Kong yang tidak dapat mengakses laman web di beberapa bahagian Asia dan AS.

Syarikat telefon Hong Kong, PCCW Ltd. yang turut menyediakan perkhidmatan Internet menyatakan beberapa kabel data di dalam laut rosak dalam gempa bumi itu.

‘‘Penghantaran data ke Taiwan, Korea, Jepun dan AS terjejas,’’ menurut kenyataan PCCW.

Syarikat tersebut juga memberi amaran kepada pelanggan bahawa mereka mungkin mengalami kesesakan selama beberapa hari di Internet disebabkan peningkatan penggunaan apabila pengguna melayari Internet untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai gempa bumi itu.

Pengendali utama Jepun bagi panggilan antarabangsa, KDDI Corp. mengumumkan, perkhidmatan telefon talian tetapnya terjejas sekejap-sekejap berikutan gempa bumi kali ini.

Jurucakap KDDI, Haruhiko Maeda berkata, gempa bumi itu merosakkan beberapa kabel komunikasi di dasar laut di selatan Taiwan yang dikongsi bersama oleh syarikat-syarikat komunikasi antarabangsa.

Katanya, pelanggan menghadapi masalah membuat panggilan ke India dan Asia Barat kerana panggilan itu selalunya disalurkan menerusi kabel dekat Taiwan.

Maeda menambah, syarikatnya menyalurkan semula panggilan menerusi AS dan Eropah dan beliau tidak tahu berapa lama tempoh untuk membaiki kabel.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun menyatakan, perkhidmatan perayauan antarabangsa yang disediakan oleh tiga syarikat telekomunikasi utama Jepun iaitu NTT DoCoMO, KDDI dan Softbank telah tergendala.

Petikan daripada : http://www.utusan.com.my/

Nintendo sertai persaingan PS3

Sunday, December 24th, 2006

SELAIN alat permainan video (konsol) Play Station 3 (PS3) keluaran Sony yang menjadi rebutan di kalangan peminat permainan video November lalu, salah satu konsol yang turut mendapat perhatian ialah Wii keluaran Nintendo.

Ia merupakan pesaing yang jelas baik kepada PS3 atau Xbox 360 keluaran Microsoft malah ketika konsol ini diperkenalkan pada 19 November lalu, para peminatnya sudah beratur panjang sehari sebelum tarikh tersebut.

Sebaliknya, konsol Wii yang diperkenalkan lewat dua hari berbanding PS3 berjaya mengatasi jualan konsol keluaran Sony tersebut yang pada mulanya begitu gah dicanangkan sebagai konsol paling berjaya.

Setelah terjual sebanyak 50,000 unit dalam masa hanya 12 jam, penjualan konsol Wii itu terus mencecah sehingga 105,000 hanya dalam masa lima hari.

Angka penjualan konsol Wii tersebut dianggap sebagai paling pantas dalam sejarah penjualan konsol yang sebelum ini dipegang oleh Xbox 360 selepas terjual 70,000 dalam tempoh sama.

Sedikit mengenai Wii, konsul permainan video kelima Nintendo yang nama asalnya ialah Revolution ini merupakan penerus kepada Nintendo GameClub

Inovasinya terdiri daripada alat kawalan kayu ria (joystik) yang bertindak balas di ruang fizik tiga dimensi di hadapan televisyen.

Alat kawalan jauh Wii yang berbentuk seperti alat kawalan jauh televisyen disambungkan secara tanpa wayar menggunakan teknologi Bluetooth.

Isyaratnya dapat dikesan sejauh 10 meter daripada konsol dan boleh berfungsi sebagai penunjuk sejauh lima meter dari televisyen.

Wii juga dapat berkomunikasi dengan Internet sekalipun ketika bekalan kuasanya dimatikan dan menerusi fungsi WiiConnect24.

Wii juga dapat memuat turun semua judul permainan video lama dari sistem Super Nintendo Entertainment (SNES), Nintendo Entertainment System (NES), Nintendo 64, PC Engine (Turbo Grafx) dan Sega Genesis menerusi Wii Virtual Console.

Terdapat kira-kira 100 judul permainan video ketika Wii dilancarkan terutamanya judul permainan video lama yang dapat dimuat turun menggunakan Virtual Console.

Malah melihat kepada sambutan yang menggalakkan juga, Nintendo merancang untuk menambah pelbagai judul permainan video lain yang lebih menarik dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Petikan daripada : http://www.utusan.com.my/

MyIX ibu sawat baru internet

Sunday, December 24th, 2006

Pengguna boleh terus buka laman web tempatan tanpa rentas negara lain.

Ibu sawat MyIX penting untuk meningkatkan keperluan industri komputer tempatan.

MYIX adalah infrastruktur ibu sawat internet baru bagi meningkatkan keberkesanan proses penghantaran data dengan lebih menjimatkan.

Dalam kata lain, setiap URL yang mempunyai alamat akhiran .com.my atau .gov.my tidak perlu merentasi ibu sawat di Singapura atau Amerika Syarikat bagi membolehkan pengguna internet negara ini untuk membuka laman web tempatan.

Pusat ibu sawat Internet (IX) atau IXP adalah infrastruktur fizikal yang disediakan kepada penyedia perkhidmatan Internet (ISP) bagi menukar trafik internet antara rangkaian sambungan pelanggan mereka apabila ia disalurkan tanpa dikenakan sebarang kos.

Ia yang menjadi tulang belakang nod router protokol internet (IP) yang disediakan ISP di dalam satu bangunan atau lokasi dikawal oleh penyedia bebas.

Konsep penyambungan terus menerusi IX itu dapat mengurangkan trafik ISP yang ditawarkan menerusi penyedia penghantaran aliran menaik di samping mengurangkan kos purata penghantaran setiap bits data bagi perkhidmatan yang disediakan.

Infrastruktur IX yang disediakan dalam negara akan membolehkan pengguna internet menghantar data tanpa had, tanpa bayaran malah menawarkan lebar jalur lebih bertenaga.

Jika kos operasi bagi penggunaan IX oleh penggerak industri itu meningkat, jumlahnya akan dikongsi oleh ISP apabila mereka dilihat perlu membuat pembayaran secara bulanan.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada kelajuan port ISP yang disediakan atau jumlah trafik yang disalurkan menerusi ibu sawat itu.

Di negara ini, infrastruktur IX diperkenalkan menerusi MIX yang dilancarkan pada 2003 lalu oleh dua ISP tempatan, iaitu Telekom Malaysia Bhd dan Jaring.

MyIX akan beroperasi di tiga tapak pusat data terpilih iaitu di Pusat Data Applied Information Management Services Sdn Bhd (AIMS), Menara Aik Hua, Pusat Data Jaring Communication Sdn Bhd di Taman Teknologi Malaysia (TPM) dan Pusat Arahan Fiberail Network Telekom Malaysia Bhd ™.

Penubuhan MyIX dilihat dapat memenuhi kriteria yang dikehendaki seperti menghasilkan penyedia IX yang neutral apabila ia tidak seharusnya dimiliki oleh penyedia perkhidmatan tertentu sahaja.

Pada masa sama, syarikat ISP akan memperoleh akses IX yang sama dan adil untuk kegunaan pelanggan mereka dan pada harga yang berpatutan untuk perkhidmatan yang disediakan.

INFO: PUsat operasi MyIX

# Pusat Data Applied Information Management Services Sdn Bhd (AIMS).
# Menara Aik Hua, Pusat Data Jaring Communication Sdn Bhd di Taman Teknologi Malaysia (TPM).
# Pusat Arahan Fiberail Network Telekom Malaysia Bhd ™.
# 1 gigabait sesaat (Gbps) kapasiti sambungan antara pusat data.
# 17 ahli merterai memorandum persefahaman (MoU) MyIX.

Petikan daripada : http://www.bharian.com.my/

Satelit majukan teknologi komunikasi

Wednesday, December 13th, 2006

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelancaran satelit Measat-3 membuka peluang untuk Malaysia berkongsi pengalaman dan teknologi dengan lain yang turut terbabit dalam pembangunan teknologi serupa.

Perdana Menteri berkata, kejayaan pelancaran satelit ketiga negara itu juga membuktikan komitmen Malaysia untuk memajukan aplikasi teknologi komunikasi satelit yang boleh memberi pelbagai manfaat.

“Ia detik yang sangat membanggakan kita kerana membuktikan kita serius dalam membangunkan teknologi itu.

“Ia termasuk bagi kegunaan dalam bidang pendidikan, komunikasi, penyiaran dan hiburan,” katanya dalam perutusan yang disiarkan ketika majlis pelancaran Measat-3, semalam. Satelit itu dilancarkan di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.

Abdullah berkata, adalah penting keutamaan diberi kepada aspek pembangunan teknologi satelit kerana ia pasti dapat memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dan rakyatnya.

“Apa juga teknologi yang kita utamakan, ia bermatlamat memberi faedah kepada negara dan rakyat khususnya bagi membantu kita mencapai status sebagai negara maju menjelang 2020,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penyelidik dan juruteknik tempatan akan sentiasa meningkatkan kemahiran serta pengetahuan untuk mencapai lebih banyak kejayaan dan mendapat peluang berkongsi kepakaran dengan negara yang mempunyai kemudahan sama.

Berita daripada : http://www.bharian.com.my/

Measat-3 dilancarkan

Wednesday, December 13th, 2006

KUALA LUMPUR: Malaysia semalam melancarkan satelit komunikasi ketiganya, Measat-3 yang dijangka mampu memacu pertumbuhan negara ke arah menjadi antara kuasa terkemuka serantau dalam bidang teknologi terkini.

Measat-3, susulan kepada dua satelit sedia ada Malaysia iaitu Measat-1 dan Measat-2, dilancarkan tepat jam 7:28:30 pagi semalam atau 5:28:30 pagi waktu tempatan di lokasi pelancarannya di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.

Satelit milik Measat Satellite Systems Sdn Bhd (Measat) itu, yang dibawa roket Proton Breeze-M, berpisah dengan roket pelancarnya untuk menuju lokasi orbitnya, tepat jam 2.40 petang semalam (waktu Malaysia), iaitu sembilan jam 12 minit selepas dilancarkan.

Measat-3, yang membabitkan kos kira-kira RM1 bilion, berada di lokasi orbit utamanya, pada kedudukan longitud 91.5 darjah timur dan menjalani ujian yang dijadual berakhir pada 1 Februari 2008.

Apabila beroperasi, Measat-3 mampu meningkatkan keupayaan dua satelit sedia ada sebanyak 300 peratus serta meluaskan liputan rangkaiannya ke lebih 100 negara yang membabitkan 70 peratus daripada penduduk dunia.

Ia yang dibina Boeing Satellite Systems International, antara lain akan berfungsi memberikan liputan lebih meluas ke seluruh Asia Pasifik bagi perkhidmatan telekomunikasi, penyiaran dan televisyen satelit.

Measat ialah pembekal perkhidmatan komunikasi televisyen dan satelit kepada penyiar utama Asia. Ia kini mengendalikan dua rangkaian satelit, menyediakan perkhidmatan video meliputi Asia Timur dan selatan, Indochina serta Australia.

Pelancaran Measat-3 yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen satelit disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Kong Cho Ha; Pengarah Measat, Tun Hanif Omar dan kira-kira 1,000 tetamu.

Berucap pada majlis itu, Najib berkata, pelancaran Measat-3 adalah detik sejarah yang amat bermakna kerana ia meletakkan Malaysia di saf hadapan serta mendapat pengiktirafan dunia dalam bidang komunikasi satelit.

“Pelaburan besar yang dibuat Measat ini bukan sekadar penerokaan oleh sebuah syarikat swasta tempatan malah ia turut membawa aspirasi seluruh rakyat negara ini ke angkasa lepas bersamanya,” katanya.

Beliau berkata, Measat-1 dan Measat-2 yang dilancarkan pada 1996 membolehkan pelaksanaan teknologi televisyen, penyiaran terus ke rumah (DTH) dan memperkukuhkan industri telekomunikasi melalui rangkaian GSM dan VSAT.

Sebagai contoh, katanya, sejak Measat-1 dilancarkan, jumlah langganan telefon bergerak di negara ini meningkat ketara daripada hanya 700,000 pada 1995 kepada 20 juta tahun ini.

Beliau berkata, Measat-3 akan merangsang pertumbuhan lebih besar industri telekomunikasi dan media, dengan satu daripada bidang yang akan menikmati pertumbuhan besar ialah akses internet jalur lebar.

Katanya, selain bidang penjagaan kesihatan dan sistem pembelajaran jarak jauh, Measat-3 akan mempermudahkan pembangunan industri media peringkat seterusnya dengan memperluaskan televisyen satelit dan perkhidmatan komunikasi.

“Ini adalah detik bermakna untuk kita semua dengan Malaysia membuat langkah besar dalam pembangunan teknologi. Ini adalah bukti positif kita boleh mencapai matlamat jika bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh tumpuan.

“Selain faedah ekonomi kesan pelancaran satelit ini, ia juga akan merangsang rakyat Malaysia supaya berani dalam mengejar impian serta sentiasa berusaha mencapai matlamat lebih tinggi,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan biasiswa kepada Ng Jin Aun, 22, pelajar Malaysia pertama menerima biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di International Space University, Strasbourg, Perancis.

Berita daripada : http://www.bharian.com.my/